Thursday, August 13, 2009

Maklumat Terkini Wynken Delirium (13 Ogos 2009)

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, Wynken Delirium ingin memohon maaf di atas kelewatan kami memberikan update terkini. Ini disebabkan oleh jadual keluarga, kerja, dan band yang agak padat sejak kebelakangan ini. Sebenarnya, Alhamdulillah, banyak perkembangan terbaru dari pihak kami yang ingin kami kongsi bersama teman-teman.

Album pertama kami, The Alchemy Of Worlds, sudah selesai proses mastering dan artwork designnya setelah tiga tahun berhempas pulas bekerja. Ada sebelas lagu semuanya. Terima kasih kami ucapkan kepada "POM" Kattaman Chouglin (POM Recording Studio, Long Beach, California, USA) kerana berjaya memberikan sentuhan yang istimewa dalam proses mastering album kami. Bila kami dengar semula album ini, bunyi mixing and mastering album ini mengingatkan kami kepada sound band-band doom lama seperti Black Sabbath, Pentagram, Witchfinder General, Trouble dan Saint Vitus. Bunyi analog lama dengan bottom end yang ganas dengan elemen Sunda/Jawa/Bali dari segi muzikal. Artwork album ini pula kami buat sendiri, dengan banyak menampilkan ciri-ciri Jawa dan Bali juga. Kami sekarang sedang dalam proses mengumpul dana untuk mencetak album ini, dan InsyaAllah akan berjaya diterbitkan dalam masa terdekat ini di bawah label kami sendiri iaitu Saron Production. Kami merancang untuk mencetak seribu keping dahulu untuk pasaran lokal sebagai permulaan. Kami juga sedang dalam proses perbincangan dengan Dead Sea Records untuk menentukan tarikh release album ini di US.

Dari segi alat muzik pula, Wynken Delirium baru-baru ini telah membeli satu unit saron (salah satu komponen gamelan) dari Surabaya, Indonesia untuk kami gunakan dalam live shows kami. Buat masa sekarang, selain menjadi vokalis Wynken Delirium, Ajax juga bertugas bermain saron dalam beberapa lagu. Kami masih di dalam proses mencari pemain saron berbakat yang ingin kami serapkan ke dalam Wynken Delirium sebagai ahli tetap. Kepada yang berminat, tunggu apa lagi? Hubungi kami di MySpace (www.myspace.com/wynkendelirium) untuk audition! Kami pasti gembira bertemu anda!

Wynken Delirium turut berterima kasih kepada C&M Music Center Sdn Bhd (www.cmmusic.com.my) yang telah sudi dan berbesar hati untuk memberikan endorsement deal untuk alat muzik kepada kami baru-baru ini. Wynken Delirium kini tampil menggunakan tube amplifier berjenama Bugera dalam live shows kami. Kami amat menggemari sound amplifier ini dan mencadangkan teman-teman semua untuk mencubanya juga. Harganya juga sangat berpatutan untuk amplifier berkualiti boutique amp! Bagi yang sedang mencari-cari alat muzik yang berkualiti pada harga berpatutan di sekitar Johor Bahru, kami cadangkan anda cuba C&M Music. Banyak alat dan kelengkapan muzik yang berpatutan yang kami dapati di sana.

Menoleh ke belakang, tahun 2009 merupakan tahun yang sibuk tapi menggembirakan bagi kami. Tahun ini, Wynken Delirium banyak menumpukan perhatian kepada gig-gig lokal di sekitar Johor Bahru. Sambutan yang diberikan amatlah menggalakkan dan kami amat berterima kasih kepada semua teman-teman yang menyokong perjuangan Wynken Delirium. Tanpa anda siapalah Wynken Delirium. Wynken Delirium bercadang menubuhkan friends club kami sendiri yang dapat menawarkan, di antaranya, diskaun untuk harga tiket gig yang dianjurkan oleh label kami Saron Production dan pembelian album dan merchandise Wynken Delirium. Mudah-mudahan ini menjadi kenyataan.

Sekian. Terima kasih.

Wynken Delirium