Sunday, December 06, 2009

Temubual Wynken Delirium Bersama Death Attack Zine #3

Intro. Apa yang sedang berlaku di waktu ini?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya Zaihas di sini, mewakili Wynken Delirium untuk temubual yang menarik ini.

Pada waktu ini, Wynken Delirium sedang mengumpul dana untuk melancarkan album sulung kami “The Alchemy Of Worlds” yang dijangka keluar pada awal tahun 2010. Kami baru saja melancarkan video clip kami untuk lagu “Jingling Nona” yang kami edarkan secara percuma kepada sesiapa yang berminat. Wynken Delirium juga sedang giat bermain di dalam gig di dalam dan luar negara dan membantu menganjurkan gig di sekitar Johor Bahru di atas dasar minat, persahabatan, dan melepaskan tekanan dari majikan dan pekerja bawahan yang mengganggu kewarasan di tempat kerja.

Bila Wynken Delirium wujud? Material pertama Wynken Delirium?

Wynken Delirium wujud dari perpecahan kumpulan Gobling pada tahun 2004. Pada masa itu, Harris (bass) dan Zaihas (gitar) mencari kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama untuk menyambung perjuangan Gobling, dan kami menjumpai Ajax (vokal), yang mempunyai rambut yang menawan. Ajax memperkenalkan kami kepada Fad (dram) dan Shah (gitar) dan bermulalah Wynken Delirium.

Pada tahun 2008, Fad dan Shah menarik diri dari Wynken Delirium untuk berekperimentasi dengan muzik grindcore bersama Sickness, dan kami menjumpai para pengganti berkarisma yang terdiri dari Zam (gitar) dan Yan (dram). Semua ahli dan bekas ahli yang disebutkan di atas adalah amat penting dalam membentuk perkembangan Wynken Delirium dari segi bunyi, arah tuju muzik dan penampilan pentas.

Bermula dari tahun 2006 sehingga tahun 2009, Wynken Delirium telah secara berperingkat merakam lagu-lagu yang akhirnya bakal menjadi album sulung kami, “The Alchemy Of Worlds”. Dalam masa tersebut, kami telah mengedarkan single “Eyes Of Good/Jingling Nona” secara percuma kepada rakan-rakan, peminat-peminat, ahli keluarga mereka serta keluarga mertua mereka.

Mengapa Wynken Delirium ditubuhkan? Sudut-sudut yang menarik?

Wynken Delirium ditubuhkan sebagai “outlet” kami semua meluahkan karya kami dalam bentuk muzikal. Pada awalnya, kerana minat kami kepada band-band yang kami minati, masing-masing dari kami ada menulis lagu-lagu sendiri yang ingin kami mainkan bersama sebagai sebuah unit muzik. Lagu-lagu tersebut disemak beberapa kali bersama teman-teman di dalam band semasa sesi latihan, dan versi yang kami rasa terbaik adalah versi yang kami mainkan. Semasa proses tersebut, banyak juga lagu-lagu yang kami terpaksa ketepikan kerana tidak menepati piawaian kami.

Kami rasa cakupan muzik Wynken Delirium semakin berkembang sejak penubuhannya 5 tahun lalu. Setiap daripada kami mempunyai minat yang berbeza-beza, dari muzik gamelan dan etnik, grunge, metal, punk, doom, stoner rock, progressive rock, hinggalah ke dangdut.

Topik perbicaraan lirik kami juga bervariasi dan luar biasa, daripada penjelasan mengenai kegunaan batu dalam masyarakat, sehinggalah ke cerita mengenai bebanan yang ditanggung oleh seorang warganegara Malaysia yang dibebani hutang rumah, hutang kereta, dan mungkin juga hutang Ah Long.

Yang menariknya, semakin lama kami bermain bersama sebagai sebuah band, semakin mudah bagi kami untuk menjumpai cara-cara untuk menggabungkan elemen-elemen yang tampak berbeza ini secara organik and praktikal, dan kami dapat memperhalusi selitan setiap elemen tersebut secara lebih terperinci. Heh heh heh.

Gig pertama dan dah berapa kali beraksi?

“Gig” pertama Wynken Delirium sebenarnya ialah satu audition untuk pertandingan band “Rock Unite” pada tahun 2006 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, disaksikan Ali Bakar dan Joe Wings. Memang malang nasib kami pada ketika itu. Baru nak bermain sudah kena bermain di depan orang-orang tua yang mahir dalam muzik rock kapak walaupun sebenarnya kami bermain muzik rock mesin basuh. Semestinya kapak dan mesih basuh adalah dua objek yang amat berbeza dan tidak serasi, oleh kerana itu juga kami gagal melepasi ujian saringan itu.

Tapi pengalaman pertama yang agak kekok itulah yang banyak membentuk masa depan Wynken Delirium. Kami menjadi semakin serius, terutamanya dalam soal-soal asas muzik seperti bermain dengan “ketat”, intonasi, tuning, dan pitching. Daripada asas-asas tersebut barulah kita boleh maju ke depan untuk menentukan muzik seperti apa yang kami ingin mainkan.

Sejak itu, Wynken Delirium telah bermain di banyak gig di dalam dan luar negara. Kami pernah berkongsi pentas dengan band-band hebat, di antaranya Noxa (Indonesia), Suaka (USA), Invictus (Indonesia), Bloodshed (ya, band rock legenda Malaysia itu), Burgerkill (Indonesia), Predicate Not Defined (Malaysia), Damokis (Malaysia), Karmapura ( Singapura), Carnivora (Thailand), Abhorrence (Slovakia), Blind Tribe (Malaysia), Sil-Khannaz (Malaysia), As-Sahar (Singapura), Negation (Malaysia), Dead Mushroom (Malaysia), Stigmata (Sri Lanka), Black Territory (Malaysia) dan Forgiveness Before Death (Indonesia). Kami banyak belajar dari band-band ini.

Muzik Wynken Delirium ke arah mainstream atau underground? Mengapa dilabelkan “Lembab Dan Berat”?

Ini soalan yang agak menarik. Wynken Delirium tidak pernah mengkategorikan muzik kami mengikut aliran-aliran di atas. Yang penting pada kami ialah semangat untuk melakukan sesuatu itu dengan sendiri, tanpa mengharapkan bantuan orang lain sebanyak yang mungkin. Kerana ini mungkin kami lebih selesa menganjurkan gig sendiri, melancarkan album dengan duit poket dan titik peluh kami sendiri, dan kami amat tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin campur tangan dalam arah tuju muzik kami atau mengaut keuntungan mudah daripada kami. Biarlah Wynken Delirium berkarya sebaik mungkin tanpa dipaksa untuk mengikut acuan tertentu. Walau bagaimanapun, kami rasa kami mungkin lebih selesa dengan scene underground, kerana Zaihas dan Harris bermula mengenal muzik dan teman-teman dari scene tersebut.

“Lembab Dan Berat”. Itulah label yang diberikan oleh teman kami Hassan apabila melihat Gobling bermain live pada tahun 2004. Tag tersebut amat menarik hati kami dan kami berpendapat ia sesuai untuk menggambarkan muzik kami. Sejak itu kami terus menggunakan tag tersebut.

Permintaan Wynken Delirium untuk gig, compilation CD atau pun album pertama?

Setakat ini Alhamdulillah, ada banyak permintaan untuk bermain gig-gig di dalam dan di luar negara. Banyak juga yang sudah bertanya mengenai bila album kami akan dilancarkan, malahan ada juga yang sudah bertanya mengenai merchandise seperti T-shirt, contohnya. Kami memohon beribu-ribu maaf di atas kelewatan pelancaran album, dan InsyaAllah album kami akan dilancarkan juga pada tahun 2010 nanti. Sesi tour dan penjualan merchandise akan menyusul sejurus selepas itu, InsyaAllah.

Perlukah metal band menyertai MACP?

Pada kami, ya, ahli muzik di Malaysia patut menyertai MACP. MACP merupakan badan yang membantu kita menjaga hakcipta muzik kita dan dapat mengutip bayaran/royalti bagi pihak pemuzik dari pihak radio, televisyen, dan premis perniagaan yang mengudarakan muzik kita. Tidak kira apa jenis muzik sekali pun, untuk menjaga hak kita dari dimanipulasi oleh pihak-pihak seperti stesen-stesen radio perdana/mainstream, kita perlukan MACP.

Akan tetapi, kita mempunyai pilihan untuk membenarkan pihak-pihak yang tidak mementingkan keuntungan untuk mengudarakan hasil karya kita secara percuma. MACP berpendapat hakcipta dan kebenaran untuk menerbit dan mendendangkan hasil karya muzik untuk ke udara adalah hak mutlak pencipta hasil karya tersebut, dan ini tidak bertentangan dengan rasional pemuzik bebas seperti kami.

Kaitan manusia dan muzik?

Manusia merupakan makhluk yang dijadikan Tuhan dengan daya seni dan kreativiti yang secara relatifnya agak tinggi jika dibandingkan dengan tumbuhan seperti pokok ubi kayu mahupun haiwan seperti siput sedut. Tuhan menjadikan manusia dengan kemampuan untuk mengenali bentuk-bentuk bunyi yang akan dia tafsirkan sebagai sesuatu yang menarik untuk didengar. Itulah muzik kepada manusia.

Dalam kewujudan Wynken Delirium, apa yang dititikberatkan oleh anda dan line up yang lain?

Wynken Delirium adalah lebih daripada sebuah band. Ia adalah sebuah keluarga. Dalam erti kata Wynken Delirium, keluarga adalah perkara yang pertama. Yang kedua ialah kawan-kawan, dan yang ketiga barulah band itu sendiri. Oleh kerana itu, Wynken Delirium mementingkan sikap keterbukaan dan bertolak ansur. Sikap-sikap inilah yang berjaya membantu Wynken Delirium melalui jerih payah dalam berkarya.

Album metal Malaysia pertama yang anda miliki?

Semestinya album Cromok, Image of Purity. Album yang sungguh klasik.

Last words?

Terima kasih kepada Death Attack Zine kerana sudi menemubual Wynken Delirium! Masih banyak yang perlu kami lalui dan pelajari dan InsyaAllah kami akan terus berkarya selagi termampu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home